Jual rumah bukanlah satu perkara yang mudah dalam pasaran sekarang. Dalam artikel ini saya akan terangkan dengan terperinci proses dan cara jual rumah. Mudahan-mudahan dapat menjadi panduan kepada anda.
Tetapkan Harga Rumah
Sebelum jual anda mesti tentukan berapa harga jual rumah anda. Pada tahap ni penting untuk anda ketepikan emosi dan nilai sentimental terhadap rumah.
Emosi dan nilai sentimental ni boleh menyebabkan anda tetapkan harga yang terlalu tinggi, hingga tak ada sambutan. Atau harga yang terlalu rendah dan anda rugi.
Sebaliknya kajilah pasaran dan juga permintaan di kawasan rumah tersebut.
Semak Harga Pasaran Terkini Rumah Anda
Bila anda tetapkan harga rumah ikut harga pasaran, anda sebenarnya bantu pembeli untuk dapat pinjaman yang cukup untuk beli rumah.
Ini kerana, kebanyakan pakej pinjaman hanya bagi margin 90%.
Kalau rumah berharga RM100,000 misalnya, amaun pinjaman yang pembeli boleh dapat ialah RM90,000. Dan baki RM10,000 lagi, pembeli bayar secara tunai sebagai deposit rumah.
Bayangkan kalau anda tak semak harga pasaran dan tetapkan harga RM150,000. Pembeli dalam situasi ni, terpaksa bayar RM60,000 kepada anda secara tunai (Harga rumah RM150,000 – pinjaman RM90,000).
Itu pun belum lagi campur dengan kos guaman dan duti setem. Ini dah tentulah akan bebankan pembeli.
Besar kemungkinan, pembeli tak buat belian. Walaupun mereka ada tunai, mereka akan cari tawaran yang lebih baik dekat pasaran.
Cara Semak Harga Pasaran
- Guna khidmat penilai bertauliah. Nilaian yang mereka buat tu tepat dan anda akan terima satu laporan penilaian yang sah. Cuma khidmat mereka ni anda kena bayar.
- Tanya jurubank yang anda kenal. Jurubank ni ada hubungan baik dengan penilai. Namun, semakan yang mereka buat ni hanyalah anggaran dan nak dapat respon dari jurubank ni pun mungkin sukar sebagai penjual. Klien utama jurubank adalah ejen hartanah dan pembeli rumah, bukan pemilik.
- Tanya ejen hartanah. Ejen atau perunding hartanah hanya boleh bagi nasihat kepada anda melalui data lepas atau perbandingan dengan pasaran semasa.
Saya juga boleh bantu anda buat semakan percuma. Rujuk link berikut: Semak Harga Jualan Rumah.
Untuk semak harga jualan / pasaran, anda kena berikan maklumat berikut:
- Jenis rumah
- Alamat lengkap
- Saiz lot dan binaan rumah
- Kedudukan lot (intermediate, corner atau end lot)
- Bilangan bilik
- Butiran ubahsuai, jika ada
Nota: kalau anda dah ubahsuai rumah, dan ubahsuai tu melibatkan perubahan struktur, anda mesti dapat kebenaran daripada pihak berkuasa. Kalau tak ada, kos ubahsuai tu tak dikira dalam harga rumah.
Kaji Pesaing Dan Permintaan Semasa
Dalam pasaran hari ini, hampir semua hartanah ikut harga pasaran. Tapi kenapa majoritinya tak laku. Adakah sebab kurang marketing? Bukan. Jawapannya adalah..
Harga pasaran bukan penentu rumah boleh terjual cepat. Sebaliknya, anda mesti ambil kira harga pesaing anda, semasa tetapkan harga jualan.
Contohnya. Jika harga pasaran rumah anda ialah RM500,000 dan pemilik lain jual pada harga RM400,000, dah tentulah rumah anda susah nak laku.Inilah punca kenapa banyak lambakan di pasaran sekarang.
Jadi saya boleh kata, formula nak tetapkan harga jual adalah begini:
Harga jual = harga pasaran atau harga pesaing, yang mana lebih rendah.
Kalau anda ikut formula ni, rumah boleh terjual cepat insyaAllah.
Jadi, bagaimanakah nak semak harga pesaing?
- Semak portal iklan dan lihat harga tertinggi dan terendah rumah berdekatan. Pastikan ciri rumah sama. Adakah harga anda kompetitif? Rumah yang berharga lebih rendah daripada rumah anda, pastinya akan terjual terlebih dahulu.
- Tanya ejen hartanah tentang transaksi semasa untuk ukur permintaan. Walaupun harga tinggi, boleh jadi lokasi tak dapat sambutan.
Ambil Kira faktor yang pengaruhi harga jualan
Ada beberapa faktor yang boleh pengaruhi harga jual. Elakkan letak harga terlalu tinggi jika:
- Persekitaran kurang baik. Contohnya rumah yang dekat dengan loji kumbahan, stesen janakuasa, tempat pembuangan sampah atau tapak kuari.
- Rumah ada kerosakan. Rumah akan susah nak terjual kalau ada kerosakan major, macam retak atau bocor.
- Rumah pangsapuri paling atas. Permintaan kurang untuk unit jenis ini terutama pangsapuri yang tak ada lif.
- Rumah di kawasan bermasalah. Contohnya, rumah berhampiran kawasan tanah runtuh atau banjir.