Bila jual rumah, anda kena tanggung beberapa kos jualan. Anda perlu tahu kos yang terlibat untuk kira berapa hasil jualan rumah yang anda akan dapat. Kos yang pertama ialah…
1) Kos Guaman
Sebagai penjual, anda boleh pilih untuk lantik peguam atau tak diwakili. Bagi saya, lantik peguam sendiri lebih baik kerana mereka akan jaga kepentingan anda. Tapi kosnya agak tinggi. Anda boleh guna kalkulator fi peguam untuk buat anggaran.
Sebaliknya kalau anda pilih untuk tak diwakili, anda akan jimat bayaran peguam. Tapi kos masih ada. Anda perlu bayar peguam pembeli untuk mereka uruskan kerja pindah milik. Kos ini sekitar RM2500.
Biasanya anda perlu bayar kos peguam, setelah anda dan pembeli tandatangan perjanjian jual beli. Amaun tu pun jangan risau, anda boleh tolak daripada deposit yang pembeli bayar nanti.
2) Penalti ‘Lock-in Period’
Seterusnya ialah penalti lock-in period. Penalti lock in period ialah penalti yang bank kenakan jika anda jual rumah dalam satu tempoh yang bank tentukan, setelah anda dapat pinjaman. Tempoh ni biasanya sekitar tiga ke lima tahun.
Berapa kadar penalti tu? Sekitar 2% ke 5% daripada hutang asal. Sebagai contoh, kalau hutang asal anda ialah RM500,000 dan kadar penalti ialah 3%, anda perlu bayar penalti sebanyak RM15,000.
Saya cadangkan anda semak surat tawaran pinjaman atau hubungi terus bank untuk tahu lebih lanjut tentang penalti ni. Penalti ni boleh jadi ada, boleh jadi tak ada.
3) Fi Agensi Hartanah
Kalau anda guna khidmat ejen hartanah, fi agensi hartanah adalah sebanyak 3.18% daripada harga jual, termasuk cukai perkhidmatan. Katakan anda jual rumah berharga RM100,000, maka fi agensi ialah RM3,180.
Sama macam kos peguam, anda hanya bayar fi agensi setelah tandatangan perjanjian jual beli. Amaun tu pun dari deposit yang pembeli bayar. Jadi tak adalah anda kena keluarkan duit awal dari poket sendiri.
4) Cukai Hartanah (RPGT)
Bila jual rumah, kerajaan akan kenakan cukai atas keuntungan jualan yang anda terima. Ini kita panggil sebagai Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT).
Kadar cukai yang kerajaan kenakan, bergantung kepada berapa lama anda dah beli hartanah tersebut.
Pada tahun 2022, cukai hartanah untuk individu dan penduduk tetap adalah seperti berikut:
- Jualan pada tahun pertama hingga tahun ketiga: 30%
- Jualan pada tahun keempat: 20%
- Jualan pada tahun kelima: 15%
- Jualan pada tahun keenam dan seterunya: tiada.
Sebagai contoh. Kalau anda beli rumah pada bulan Disember 2015 dengan harga RM150,000 dan kemudian jual dengan harga RM250,000 pada bulan Jun 2016, kadar RPGT ialah 30% kerana jualan berlaku pada tahun pertama.
Dalam kes ni, keuntungan anda ialah RM100,000 (RM250k – RM150k) dan cukai yang perlu dibayar adalah sekitar RM30,000 (30% x RM100,000).
Nota: ini adalah kiraan kasar. Ada cara yang lebih tepat untuk kira cukai hartanah di mana anda boleh tolak beberapa perbelanjaan / pengecualian seperti yang termaktub dalam Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah. Sila rujuk ejen percukaian untuk kiraan yang lebih tepat.
Cukai jual rumah ni memang tinggi. Tapi anda boleh gunakan beberapa cara untuk dapatkan pengecualian atau kurangkan bayaran…
Buat pengecualian sekali seumur hidup
Untuk rumah kediaman, kerajaan benarkan anda untuk buat pengecualian penuh cukai RPGT. Tetapi pengecualian ini anda hanya boleh guna sekali sahaja.
Kalau anda ada beberapa hartanah yang anda nak jual, gunakan pengecualian ini untuk hartanah yang paling banyak anda terima penjimatan cukai.
Macam mana cara nak buat pengecualian ni? Setelah tandatangan perjanjian jual beli, maklumkan kepada peguam untuk mohon dapatkan pengecualian.
Buat penolakan untuk kos-kos belian dan jualan hartanah
Namun begitu, kalau anda tak dapat buat pengecualian sekali seumur hidup, cara alternatif adalah dengan mengurangkan jumlah cukai. Anda boleh kurangkan cukai dengan menolak beberapa kos belian dan jualan yang kerajaan benarkan.
Kos ini termasuklah kos guaman, fi agensi, kos pengurusan, kos baikpulih, pengubahsuaian dan lain-lain. Anda mesti sertakan dokumen sokongan dan beritahu peguam untuk buat penolakan dalam kiraan cukai.